Blogs‎ > ‎

Krisis Kepengetuaan Kolej Kediaman di Universiti Awam

posted Nov 5, 2016, 4:38 PM by mohd hafis izran ishak

Umum mengetahui, Pengetua Kolej Kediaman (PKK) di sesebuah Universiti Awam mempunyai fungsi dan peranan yang hampir sama dengan Dekan Fakulti, melainkan PKK lebih memfokuskan kepada pembangunan sahsiah dan modal insan mahasiswa. Manakala, Dekan Fakulti lebih memfokuskan kepada pencapaian akademik mahasiswa dalam jurusan yang diambil. Tetapi struktur pentadbiran kedua-dua jawatan ini hampir sama. 

Penglibatan PKK dalam membangunkan sahsiah dan perwatakan mahasiswa memang tidak dapat dinafikan apabila PKK bukanlah seperti warden di sekolah-sekolah berasrama penuh. Apabila pelajar bermasalah, barulah mencari warden untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut. Tugas PKK adalah lebih daripada itu, bukan hanya setakat membantu mahasiswa apabila dalam kesusahan, tetapi PKK sendiri yang biasanya akan menyokong dan menyediakan pelbagai platform untuk mahasiswa membentuk sahsiah mereka ketika berada di UA. Program-program ini termasuklah program berbentuk kesukanan, khidmat masyarakat, keusahawanan, kelestarian, kepimpinan, inovasi dan sebagainya. 

Apa yang menyedihkan, jawatan PKK tidak begitu diiktiraf oleh pihak pentadbiran universiti itu sendiri. Jawatan PKK tidak dianggap sebagai Pentadbir Akademik (PA), walaupun jawatan ini hanya dipegang oleh kalangan pensyarah-pensyarah yang begitu komited dan aktif dalam menjalankan pelbagai aktiviti khidmat masyarakat di luar universiti, yang seterusnya menaikkan nama universiti itu sendiri. 

Hak PKK sebagai pentadbir akademik dinafikan apabila penyandang PKK itu sendiri masih terikat di bawah fakulti, dan bukannya di bawah pejabat Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni (HEMA). Bayangkan, cuti PKK masih perlu disahkan oleh Dekan Fakulti, sedangkan banyak tugasan dan Key Amal Indicator(KAI) PKK adalah di bawah Timbalan Naib Canselor (TNC) HEMA itu sendiri. 

Jawatan PKK sepatutnya dipindahkan ke Pusat Tanggungjawab (PTJ) HEMA sepertimana jawatan Pengarah Kaunseling, Alumni dan sebagainya. Hal ini seterusnya menyebabkan hak PKK untuk mendapatkan anugerah kecemerlangan tahunan juga dinafikan apabila pihak HEMA menganggap PKK tidak wujud di PTJ mereka, dan fakulti pula menyangka PKK di bawah HEMA. 

Akhirnya, kebajikan PKK seolah-olah tidak dipandang oleh sesiapa, melainkan apabila memerlukan bantuan PKK dalam mencari mahasiswa ke program-program besar universiti untuk memenuhkan kekosongan penyertaan. Adakalanya, PKK juga dianggap sebagai 'Tabung Pelajar' kerana dalam masa singkat perlu menyediakan sejumlah mahasiswa untuk menyertai sesuatu program atau aktiviti, yang selalunya tidak disukai oleh mahasiswa itu sendiri seperti program yang dihadiri oleh menteri dan sebagainya. 

Dimohon pihak yang berkenaan terutamanya KPT dan pengurusan tertinggi UA untuk menilai semula penglibatan PKK dalam membangunkan sahsiah dan perwatakan 'pelanggan utama sesebuah universiti' agar dipandang setaraf dengan pentadbir akademik lain dan mendapat pengiktirafan sewajarnya, seperti pengecualian daripada menjalani latihan industri untuk kenaikan pangkat dan sebagainya. 

Comments